Sumbangan ~ Tolong Klik.... Thanks.

Monday, September 15, 2008

OPS Lalang 2 : Masjid Kinrara Sokong Teresa Dikenakan ISA


Jimadie Shah Othman | Sep 15, 08 5:08pm

Pengerusi Masjid Bandar Kinrara, yang menerima petisyen membantah penggunaan pembesar suara untuk beberapa kegiatan agama, bersetuju dengan tindakan kerajaan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ke atas exco kanan Selangor, Teresa Kok.

Abdul Rahman Nasir berkata, secara umumnya, perkara sensitif membabitkan agama "tidak boleh dimainkan".

"Perkara ini tidak boleh dimainkan. Terutama sekali di negeri Selangor ini, bukan saja (berkenaan) agama Islam, tetapi apa agama pun (tidak boleh dimainkan)."

Penahanan Teresa dipercayai mempunyai kaitan dengan petisyen sekumpulan 189 penduduk sekitar Seksyen 5, Bandar Kinrara yang meminta pihak masjid tersebut memperlahankan penggunaan pembesar suara untuk aktiviti keagamaannya.

Perkara itu bagaimanapun dinafikan oleh Teresa, yang juga ahli parlimen Seputeh.

Bercakap kepada Malaysiakini petang ini, Abdul Rahman bagaimanapun enggan memberikan komen lanjut berkenaan isu itu kerana pihaknya cuma sebagai penerima petisyen dan tidak tahu-menahu tentang perkara lain di sebalik isu itu.

Masyarakat Islam setempat pula, menurut Abdul Rahman tidak memberikan sebarang reaksi terhadap penahanan itu dan bertindak seperti biasa.

"Kita tidak ada apa. Sudah lama dah masjid ini dibina. Itulah, persoalannya, kenapa sekarang? Kalau tidak puas hati, pindahlah.

"Dari dulu lagi waktu hendak beli rumah, pelannya sudah ada, sini masjid, sini taman permainan. Kenapa dulu beli di sini?" katanya.

Selain Teresa, pengendali blog Malaysia Today Raja Petra Kamaruddin dan wartawan Sin Chew Daily Tan Hoon Cheng turut ditahan di bawah akta kontroversi itu, Jumaat lalu.

Tan bagaimanapun dibebaskan sehari selepas itu.

- Malaysiakini

0 comments:

Post a Comment

Blog Stats