Sumbangan ~ Tolong Klik.... Thanks.

Monday, September 15, 2008

916 : Pakatan Rakyat Sudah Sampai Ke Peringkat Akhir

Jumlah ahli BN cukup bentuk kerajaan, ISA bukan penghalang - Anwar

Wan Nordin Wan Yaacob

Sun | Sep 14, 08 | 10:40:51 am MYT



KUALA LUMPUR, 14 Sept (Hrkh) - Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim mendakwa pihaknya yakin sejumlah ahli Parlimen BN yang akan menyertai Pakatan Rakyat cukup untuk menubuhkan kerajaan baru.

Malah tindakan kerajaan melakukan penahanan tiga aktivis di bawah Akta Keselamatan Dalam negeri (ISA) bagi Anwar tidak menghalang Pakatan Rakyat untuk meneruskan usaha menubuhkan kerajaan.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di ibupejabat KeADILan bersama pimpinan Pakatan Rakyat semalam.

Anwar dalam pada itu menyatakan bahawa beliau akan menemui Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi bagi membincangkan mengenai masa depan negara tanpa bercakap khusus mengenai peralihan kuasa.

Anwar berkata, beliau sedang membuat temujanji untuk mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri secepat mungkin bagi membincangkan tentang penahanan ISA dan masa depan politik Malaysia.

Katanya, kepimpinan Pakatan mendesak kerajaan supaya membebaskan dua lagi tahanan ISA, Teresa Kok dan Raja Petra Kamarudin selepas wartawan Sin Chew Daily telah dibebaskan semalam.

Anwar tidak menolak kemungkinan penahanan lebih ramai pemimpin Pakatan Rakyat namum, rancangan peralihan kuasa pada 16 September tidak ada kaitan dengan penahanan ISA.

"Keutamaannya ialah kestabilan politik. Ianya bukan isu penangguhan, kita mempunyai jumlahnya untuk bergerak dan kita akan bergerak mengikut mandat. Kita tidak mahu membenarkan kerajaan mewujudkan ketidakstabilan politik dengan menggunakan isu kaum," tegasnya.

Katanya, selain kestabilan politik, satu lagi isu utama yang perlu ditangani Pakatan ialah sejumlah besar ahli Parlimen BN berada di luar negeri, selepas mereka dihantar mengikuti lawatan sambil belajar mengenai pertanian di Taiwan.

Anwar juga kesal dengan tindakan Umno yang didakwanya memainkan isu perkauman dan jelas mereka berada dalam keadaan terdesak.

Sehubungan itu, Anwar menyatakan komitmennya bersama pimpinan Pakatan untuk tidak membenarkan kerajaan mewujudkan sesuatu yang boleh menimbulkan rasa kegelisahan di kalangan rakyat.

Katanya, beliau bersama pimpinan yang lain akan sentiasa mengadakan perbincangan mengatur langkah seterusnya sekiranya Raja Petra dan Teresa tidak dibebaskan.

Dalam sidang media yang sama, Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaafar menyifatkan penahanan Raja Petra dan Teresa di bawah ISA sebagai satu tindakan yang kejam dan zalim.

Beliau kesal dengan tindakan kerajaan pimpinan Abdullah Ahmad Badawi menahan mereka dalam bulan Ramadan yang sepatutnya beliau menjaga kemuliaan bulan tersebut.

"Tetapi Ramadan tahun ini perdana menteri menahan orang yang tidak bersalah," kata Kamarudin.

- Harakah

0 comments:

Post a Comment

Blog Stats