Sumbangan ~ Tolong Klik.... Thanks.

Monday, September 15, 2008

OPS Lalang 2 : Hishammuddin Bawa Isu Wartawan Ditahan ISA Ke Kabinet



PUTRAJAYA, 15 Sept (Bernama) - Ketua Pergerakan Pemuda Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata beliau akan membangkitkan isu penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bagi menahan wartawan Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng, Jumaat lalu, dalam mesyuarat Kabinet akan datang.

Hishammuddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata beliau secara peribadi tidak bersetuju dengan penggunaan ISA dengan tujuan menyelamatkan atau memberi perlindungan kepada mana-mana individu, sebagaimana alasan bagi penahanan wartawan itu.

Beliau bersetuju penggunaan ISA adalah bagi menjaga keselamatan negara.

"Bagi dua kes lain, (pengendali portal berita Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin dan Exco Selangor Teresa Kok) saya rasa pihak berkuasa lebih mengetahui apa risiko dan apa yang mereka lakukan, dan saya tidak ada maklumat mengenainya untuk saya nyatakan sama ada ia patut atau tidak.

"Tapi dalam konteks wartawan itu, menteri berkenaan (Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar) telahpun menyatakan sebabnya dan secara peribadi saya rasa ISA tidak boleh digunakan untuk sebab yang disuarakan oleh menteri berkenaan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan buku "Malaysia: From Traditional to Smart Schools - The Malaysian Education Odyssey" di sini hari ini.

Raja Petra, Kok dan Tan ditahan mengikut ISA pada Jumaat lepas dalam satu operasi polis terhadap beberapa individu yang terbabit mencetuskan isu perkauman dan persengketaan agama. Tan, bagaimanapun, dibebaskan pada pukul 2.30 petang keesokan harinya.

Berbeza dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim semalam yang menolak penggunaan ISA terhadap kes selain membabitkan anasir komunis dan pengganas, Hishammuddin berkata dalam negara berbilang kaum seperti negara ini, ancaman terhadap keselamatan negara berhubung isu perkauman dan agama perlu diambil kira.

Hishammuddin berkata keputusan kerajaan untuk menggunakan ISA tidak seharusnya dipertikaikan secara terbuka, sebaliknya perlu dibincangkan pada mesyuarat Kabinet.

Mengenai kesediaan Zaid untuk dipecat atau meletakkan jawatan bagi mempertahankan pandangannya itu, beliau berkata terpulang kepada keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Mengenai Pakatan Rakyat yang heboh mencanang akan menubuhkan kerajaan baru esok, Hishammuddin berkata rakyat negara ini boleh melihat dan menilai sendiri kredibiliti pakatan itu dan pemimpinnya esok.

"Esok kalau tidak ada perubahan kerajaan, orang yang menggembar-gemburkan perkara ini mesti bertanggungjawab, dan saya percaya kredibilitinya akan terjejas, kerana apa yang dilakukan merupakan sesuatu yang tidak bertanggungjawab," katanya.

- BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

Blog Stats