Setakat posting ini ditulis, hanya 3 orang sahaja yang telah ditahan di bawah Akta ISA iaitu Raja Petra (Malaysia Today), Hoon Cheng (Sin Chew) dan Theresa Kok (DAP) menurut laporan yang dikeluarkan oleh Malaysiakini.
Berita penahanan ini tentunya akan mengundang pelbagai persepsi daripada pihak rakyat. Tentunya, akan ada yang menyokong dan yang menentang penggunaan ISA di negara ini. Mungkin juga, akan ada yang tidak mahu ambil kisah berita ini. Apapun, itu hak masing-masing yang perlu kita hormati.
Secara peribadi, saya yakin yang tiada sesiapapun di antara kita yang akan mempertikaikan penahanan itu jika ketiga-ketiga mereka yang ditahan itu diberikan hak untuk membela diri di mahkamah.
Malangnya, bila Akta ISA digunakan, peluang mereka untuk membela diri tertutup sama sekali. Menurut ISA, mereka boleh ditahan tanpa dibicarakan selama 60 hari dan tempoh itu boleh dipanjangkan lagi sehingga bertahun-tahun lamanya.
Bila seseorang itu ditahan di bawah Akta ISA, yang mengetahui alasan sebenar seseorang itu ditahan hanyalah pihak polis dan menteri sahaja. Orang ramai tentunya akan cuba membuat spekulasi tentang kewajaran penahanan tersebut. Secara tidak langsung, ketelusan tindakan kerajaan akan dipertikaikan oleh rakyat jelata.
Jika Raja Petra ditahan kerana akidahnya terpesong, maka tempat yang selayak untuknya adalah di Pusat Pemulihan Akidah. Jika Hoon Cheng ditahan kerana membuat berita palsu, maka dia patut dikenakan pendakwaan di bawah akta yang bersesuaian dengan kesalahan yang dilakukannya itu. Dan, jika Theresa Kok didapati bersalah kerana cuba menghasut, maka dakwalah dia di bawah Akta Hasutan.
Apapun, hanya Allah, kerajaan dan pihak polis sahaja yang tahu sebab-musabab mereka ditahan di bawah Akta ISA. Mudah-mudahan, Allah menunjukkan kepada kita semua, siapakah yang benar dan siapakah yang bersalah dalam hal ISA ini. Ingatlah bahawa kebenaran tetap memihak pada pihak yang benar.
-
NurAflah
0 comments:
Post a Comment