
KUALA TERENGGANU: Proses penamaan calon pilihan raya kecil Kuala Terengganu  telah pun berakhir pada pukul 10 pagi tadi menyaksikan tiga calon telah  menyerahkan borang penamaan mereka untuk bertanding.
 Tiga calon tersebut adalah daripada Barisan Nasional (BN), Wan Ahmad Farid  Wan Salleh, calon PAS, Mohd Abdul Wahid Endot dan seorang calon bebas, Azharudin  Mamat @ Adam.
 Pada masa ini, sesi bantahan terhadap calon-calon sedang berlangsung selama  sejam bermula pukul 10 pagi tadi.
 Dalam proses penamaan calon tersebut, Wan Ahmad Farid telah dicadang oleh  Mohd Sabri Alwi dan disokong oleh Wong Foon Meng.
 Sementara itu, Mohd Abdul Wahid dicadangkan oleh  Datuk Mustafa Ali dan disokong oleh Md. Azmi Lok Yusof.
 Azharuddin pula telah dicadangkan Ahmad Affendi Shah Mamat @ Adam dan  disokong oleh Zakaria Abdullah.
 Azharuddin, 56, merupakan seorang ahli perniagaan.
 Pengurus pilihan raya kecil, Mat Razali Kasim telah mengumumkan sesi  penyerahan borang penamaan calon bermula pukul 9 pagi.
 Beberapa minit selepas pengumuman itu, Wan Ahmad Farid diiringi Timbalan  Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Pengerusi BN memasuki pusat  penamaan calon.
 Kira-kira pukul 9.20 pagi, Mohd Abdul Wahid pula memasuki pusat penamaan  calon diiringan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan beberapa pemimpin  Pakatan Rakyat.
 Kira-kira lima minit kemudian, calon Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim),  Harun Mohamad pula tiba dengan diiringi seorang penyokongnya. Beliau  bagaimanapun tidak menyerahkan borang tersebut dan memutuskan untuk menarik diri  di saat-saat akhir.
 Kira-kira pukul 9.30 pagi, Azharudin masuk ke dalam pusat penamaan calon  untuk menyerahkan borang penamaannya.
 Seorang lagi calon bebas yang semalam mengesahkan untuk bertanding, Isma  Airfath Hassanuddin bagaimanapun tidak hadir pada proses penamaan calon  tersebut.
 Difahamkan, rombongan penyokong bagi dua parti yang bertanding iaitu BN dan  PAS yang hadir ke Stadium Negeri bagi proses penamaan calon ini dianggarkan  mencecah 25,000 orang.
 Pemimpin-pemimpin yang bertanding pada pilihan raya kecil Kuala Terengganu  ini menyifatkan ia sebagai pertarungan ’survival masa depan’ yang paling  sengit.
 Malam tadi, pemimpin-pemimpin BN mengulangi bahawa cabaran di Kuala  Terengganu sebagai tanda kebangkitan semula perikatan itu.
 Wan Ahmad Farid berkata: “Jadikan pilihan raya kecil Kuala Terengganu sebagai  tempat kebangkitan semula BN yang dikatakan tiada lagi masa depan.”
 Mohd Abdul Wahid pula memberitahu, pihaknya sudah bersedia untuk menghadapi  permulaan cabaran pada pagi ini.
 “Kami sudah bersemangat untuk menghadapi proses penamaan calon esok (hari  ini),” katanya ketika ditemui pada majlis pertemuan ahli Kelab Penyokong PAS, di  sini, lewat petang semlam.
 Sebelum ini, tiga calon telah mengesahkan untuk bertanding dalam pilihan raya  kecil ini termasuk seorang tanpa parti iaitu Isma Airfath Hassanuddin.
 Pertandingan pada kali ini dijangka empat penjuru termasuk Harun.
 Tinjauan mStar Online pagi ini mendapati, para penyokong sudah mula berkumpul  untuk bergerak menuju ke Staduium Negeri - tempat berlangsungnya penamaan  calon.
 Stadium Negeri terletak bertentangan dengan Hospital Sultanah Nur  Zahirah.
 Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof  berkata, pihaknya telah membuat persediaan rapi untuk memastikan kelancaran  proses penamaan calon.
 Kata beliau, berdasarkan aturan urusan proses penamaan calon, rombongan  penyokong BN akan bergerak dari kediaman rasmi Menteri Besar Terengganu,  sementara rombongan penyokong PAS pula akan bergerak dari Bulatan Batu  Bersurat.
 Kediaman Rasmi Menteri Besar terletak satu kilometer dari sebelah kanan  Stadium Negeri manakala Bulatan Batu Bersurat pula dari sebelah kiri.
 Bagaimanapun, sehingga pukul 8.20 pagi ini, belum ada pergerakan bagi  kedua-dua parti BN dan PAS. Suasana ini agak berlainan berbanding penamaan calon  di Permatang Pauh di mana suasana hangat telah dirasai seawal pukul 7.30  pagi.
 Penyokong-penyokong BN didapati sudah mula berkumpul di kediaman rasmi  Menteri Besar bermula jam 6.30 pagi manakala para penyokong PAS pula sedang  memenuhi kawasan Bulatan Batu Bersurat tersebut sedikit demi sedikit.
 Sebelum ini, pemimpin kedua-dua parti telah berjanji akan menghimpun  sekurang-kurangnya 10,000 penyokong di pihak masing-masing.
 Abdul Aziz berkata, pihaknya hanya akan membenarkan kira-kira 150 orang  pemimpin dan penyokong bagi setiap parti dan calon yang bertanding memasuki  kawasan dalam Stadium Negeri.
 Bagaimanapun, mereka hanya dibenarkan berada di luar pusat penamaan  calon.
 Kata beliau lagi, sebaik sahaja sesi bantahan berakhir, pihaknya kan  mengumumkan status calon yang bertanding, dijangka antara 11.30 pagi hingga 12  tengah hari.
 Cuaca pada pagi ini amat baik berbanding tiga hari lalu yang mengalami cuaca  hujan yang berterusan. - MStar