Tiba-tiba isu hudud dimainkan setiap hari oleh semua media talibarut BN. Untuk kali ini ia bukan dicetuskan oleh PAS, sebaliknya diada-adakan oleh BN bagi menghadapi pilihanraya kecil Kuala Terengganu.
Ia macam isu liwat dan sumpah dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh.
Semua isu tersebut lenyap serta merta sebaik keputusan pilihanraya diumumkan.Hudud dimulakan oleh Khairy Jamaludin yang mencabar Dato’ Husam Musa dalam sebuah forum anjuran Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan.
Tanya Khaity, adakah hudud akan dilaksanakan jika PR dapat memerintah Malaysia? “Ya!” tegas Husam. Ada penganalisis berpendapat Husam terperangkap kerana beliau tidak ada hak untuk menjawab bagi pihak PR dan jawapan Husam itu akan dijadikan isu untuk ‘hidangan’ masyarakat bukan Islam, khususnya lebih 9,000 pemilih di Kuala Terengganu.
Husam tidak terperangkap sebenarnya. Kalau bukan dari mulut Naib Presiden PAS itu pun, media talibarut BN boleh mendapatkan jawapan ‘ya’ dari semua pemimpin PAS yang lain. Hudud adalah hukum Allah dan berkait dengan persoalan aqidah. Tidak boleh mengatakan tidak mahu, tidak berhasrat atau tidak bercita-cita untuk melaksanakannya kerana ia merosakkan aqidah. Aqidah yang rosak, tempatnya ialah api neraka di akhirat. Wal’iyazubillah.
Namun di sebalik persoalan, ‘mahu’ melaksanakan atau tidak, terdapat isu kedua iaitu ‘boleh’ melaksanakan atau tidak. Untuk melaksanakan hudud, pindaan perlembagaan negara perlu dibuat. Untuk pinda perlembagaan perlu sokongan dua pertiga ahli Parlimen. Hakikatnya di Malaysia, tidak ada sebuah pun parti politik yang boleh mendapat mandat dua pertiga secara bersendirian. Bagi mendapat majoriti mudah pun parti-parti politik perlu bergabung membentuk pakatan. Apatah lagi PAS yang bertanding tidak sampai separuh kerusi Parlimen.
Bagi DAP yang menjadi parti komponen Pakatan Rakyat, jika benar hudud (yang tiada kena mengena dengan bukan Islam) ditolak dan ditakuti oleh majoriti masyarakat bukan Islam di negara ini; sangat mudah untuk menjelaskan kepada golongan yang ketakutan itu. Lim Kit Siang boleh berkata, “DAP adalah pelengkap kepada majoriti dua pertiga jika PR memerintah Malaysia, hudud tidak boleh dibuat tanpa sokongan DAP.” Manakala untuk pengundi Cina Kuala Terengganu, dia boleh berkata, “Hudud tidak boleh dilaksanakan di kawasan Parlimen Kuala Terengganu, jika calon PAS menang pada 17 Januari ini tetapi kuasa BN yang jahat itu boleh dilemahkan.” Nah, sangat mudah bagi DAP untuk menjelaskan kepada bukan Islam, tanpa perlu menyerang PAS dan melatah mengikut rentak provokasi BN.
Maka datang pula Ahli Parlimen Bebas dari Pasir Mas, Ibrahim Ali membuat provokasi, “Bila kucing mengiau tikus terus lari. Sama juga dengan PAS boleh ubah pendirian selepas DAP tidak bersetuju. Soalnya kenapa PAS tidak bertegas juga untuk melaksanakan hudud?”
Jika akibat isu hudud, PAS tinggalkan PR bukankah yang akan gelak besar nanti ialah BN. PAS-DAP tidak sependapat isu hudud, tetapi boleh bersama dalam 1001 isu yang lain. Kedua-duanya sama-sama memerangi kebejatan politik BN, rasuah yang berakar umbi, kronisme, ketidakadilan sosial, kezaliman ISA, penyalahgunaan wang rakyat, pelaksanaan keadilan yang pincang, tiada kebebasan media, budaya hedonisme melampau yang digalakkan, tekanan terhadap mahasiswa melalui AUKU, ketempangan demokrasi dan sebagainya.
Kesimpulannya, BN adalah bapa segala kemungkaran. Dalam konteks demokrasi berparlimen, BN hanya boleh ditumbangkan dengan penyatuan kerusi PAS, DAP dan PKR. PAS tidak boleh lari dari PR hanya kerana rakan pakatan tidak mahu hudud, lalu BN terus bermaharajalela menguasai negara. Tidak betul hanya kerana tidak dapat buat hudud maka kerja menumbangkan bapa kemungkaran dihentikan. Dalam kaedah feqah; jika tidak boleh buat semua, jangan tinggalkan semua.
Dari aspek tanggungjawab (taklif), hudud tidak wajib dilaksanakan oleh individu tetapi pemerintah. Jika ada halangan maka tertangguhlah tanggungjawab. Kanun Jenayah Syariah, yang di dalamnya terkandung hukum hudud, pernah diluluskan di DUN Kelantan dan Terengganu sewaktu pemerintahan PAS, tetapi tidak dapat dibuat kerana halangan Perlembagaan Persekutuan.
Senator Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, “PAS mempunyai tiga Menteri Besar iaitu di Kelantan, Kedah dan Perak. Kenapa mereka tidak melaksanakan hudud di negeri berkenaan, kerana sudah memerintah dan berkuasa?” Ini satu kenyataan yang amat bodoh kerana menganggap hudud boleh dibuat dengan kuasa Menteri Besar. Pelik, orang yang diberi amanah membahaskan isu perundangan di Dewan Negara jahil mengenai undang-undang.
Sekalipun hudud belum dapat dilaksana, tanggungjawab berdakwah dan memberi kefahaman kepada seluruh umat manusia berlarutan sehingga qiamat. Anehnya, UMNO yang beriya-iya mendesak PAS laksanakan hudud (dengan niat menyindir) tidak pula bertanya diri sendiri berhubung sikap mereka dalam isu hudud. Jika MCA, MIC dan Gerakan sindir DAP isu hudud, rakyat mudah faham. Bila UMNO yang turut jejak rakan kongsi mereka, rakyat keliru. Apa anutan UMNO?
UMNO juga selalu dakwa kerjasama PAS-DAP adalah pakatan sementara. Apakah kerjasama UMNO, MCA, MIC adalah pakatan kekal? Janganlah begitu, setakat di atas dunia cukuplah…- Kerabu Bersuara
0 comments:
Post a Comment