Sumbangan ~ Tolong Klik.... Thanks.

Wednesday, September 17, 2008

Khairy Tawarkan Diri Bertanding Ketua Pemuda UMNO

Naib ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin hari ini mengumumkan secara rasmi menawarkan diri untuk bertanding jawatan ketua Pemuda Umno Malaysia.

Beliau membuat pengumuman di pusat khidmat ahli Parlimen Rembau di Chembong petang ini.Majlis itu diadakan khas untuk beliau mengumumkan menawar diri bertanding jawatan tersebut. Turut hadir ialah 40 ketua Pemuda Umno bahagian dari seluruh negara untuk menyatakan sokongan kepada Khairy.

Hadir sama ialah lima ketua Pemuda negeri dari Perlis, Wilayah Persekutuan, Sabah, Perak dan Negeri Sembilan.

Turut kelihatan ialah penolong setiausaha Pemuda, Datuk Abdul Rahman Dahlan; exco Pemuda Datuk Rezal Merican Naina Merican dan ketua Putera Umno, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim."Saya membuat keputusan ini setelah turun ke bawah, mendapatkan pandangan dan berbincang dengan kawan-kawan dari seluruh negara.

Pemuda perlu jadi wadah

"Keputusan ini bukan saya seorang tetapi membabitkan semua Pemuda di setiap peringkat."Perkara ini (keputusan) bertanding timbul setelah Datuk Seri Hishamuddin Hussein mengumumkan mengosongkan kerusi ketua Pemuda yang disandangnya selama 10 tahun," katanya.

Khairy berkata, Pemuda Umno perlu menjadi wadah dan entiti kepada generasi muda termasuk yang tidak menyertai mana-mana parti politik.

Menurutnya, generasi muda korporat, badan bukan kerajaan (NGO), swasta dan kakitangan kerajaan perlu didekati oleh Pemuda Umno. Katanya, Pemuda Umno perlu menjadi tunjang untuk memperkasakan pengaruh pergerakan itu di kalangan pengundi muda sama ada yang berada dalam Umno atau tidak.

"Supaya dapat membela dan melaksanakan agenda untuk generasi muda," katanya.

Pemuda Malaysia

Khairy berkata, agendanya dalam menawarkan diri agenda untuk setiakawan di dalam Pemuda Umno, Pemuda Barisan Nasional (BN) dan rakyat Malaysia.

Ketika ditanya mengenai peluangnya, Khairy berkata, beliau mempunyai 30 peratus kerana semua tiga calon lagi yang menawarkan diri berpengalaman dan bukan calang-calang.

Tiga tokoh Pemuda lagi yang telah menawarkan diri untuk bertanding ialah bekas menteri besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo; exco Pemuda Umno, Datuk Mukhriz Mahathir dan timbalan pengerusi badan perhubungan Umno Perlis, Datuk Zahidi Zainol Abidin.

Katanya, Pemuda perlu membawa perubahan dengan teliti dan rapi dan bukannya kepada slogan semata-mata."Kita harus eratkan jurang di peringkat cawangan dan bahagian dalam pergerakan Pemuda Umno dan ini perlu menjadi keutamaan."Hubungan dengan Pemuda BN juga perlu dipereratkan," katanya sambil menambah beliau bertanding sebagai pemimpin pemuda rakyat Malaysia dan bukannya pemuda Melayu.

Khairy berkata, jika ada orang dakwa agenda Melayu tidak sesuai lagi, Pemuda Umno perlu menjelaskannya mengapa ia berlaku.Katanya, Pemuda Umno membawa agenda Melayu kerana ia adalah agenda nasional."Kita harus ingat ketua Pemuda Umno adalah pengerusi Pemuda BN," katanya.

0 comments:

Post a Comment

Blog Stats