Sumbangan ~ Tolong Klik.... Thanks.

Tuesday, September 23, 2008

Kenyataan MCA sempit, berbaur perkauman - Pas


KUALA LUMPUR 22 Sept. - Dewan Pemuda Pas Pusat menyifatkan Naib Presiden MCA, Datuk Donald Lim Siang Chai berfikiran sempit apabila mengingatkan masyarakat Cina tentang bahaya jika semua parti berasaskan kaum itu berpihak kepada pembangkang.

Ketuanya, Salahuddin Ayub berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh Siang Chai pada Konvensyen MCA Selangor semalam turut disifatkannya sebagai berbaur perkauman.

''Ini satu ucapan yang tidak bertanggungjawab dan cukup berbaur perkauman kerana saya percaya semua orang Cina berhak memilih untuk berada di dalam mana-mana parti,'' ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengedarkan kira-kira 600 bungkus makanan kepada pengunjung di Hentian Puduraya sempena bulan Ramadan di sini hari ini.

Menurut Salahuddin, kenyataan Siang Chai itu tidak logik dan MCA mempunyai maksud tersirat yang ingin disampaikan kepada kaum Cina iaitu kesemua mereka perlu kekal bersama parti tersebut.

Sebagai sebuah negara yang mengamalkan dasar demokrasi katanya, ruang perlu diberi kepada masyarakat Cina untuk memilih parti yang mereka suka termasuk memilih parti pembangkang.

Beliau berkata, kenyataan seumpama itu secara tidak langsung memberi gambaran kelemahan yang ada dalam parti tersebut dan bimbang orang Cina akan meninggalkan MCA.

''Pas juga pernah mengalami satu era yang mana kita mendapat sokongan yang lemah pada tahun 2004 tetapi tidak pernah pula kita kata orang-orang Melayu semestinya masuk Pas sahaja dan kalau masuk UMNO, akan menjadi parti perkauman,'' ujarnya.

Jelasnya, kalau sesuatu parti itu lemah mereka perlu membuat kajian dan muhasabah diri supaya dapat memperbaiki kelemahan dan bukannya mengeluarkan kenyataan yang begitu sempit.

- Utusan Malaysia

0 comments:

Post a Comment

Blog Stats