Sumbangan ~ Tolong Klik.... Thanks.

Saturday, January 03, 2009

Kumpulan 'bukan pro Manika' adakan demonstrasi sokong Anwar

SUMBER :Skuad Dun Batu Caves

PETALING JAYA: Satu lagi kumpulan dalam Parti Keadilan Rakyat hari ini mengadakan demonstrasi bagi menyatakan tanda sokongan terhadap parti itu dan Penasihatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kira-kira 150 orang hadir dalam perhimpunan itu yang dianjurkan oleh penyokong kaum India PKR dan ahli-ahli Makkal Sakti.

Kumpulan 'bukan pro Manika' itu berkumpul di hadapan ibu pejabat PKR bermula pukul 3 petang sebagai tanda bahawa tiada sebarang perpecahan atau perasaan tidak puas hati di kalangan kaum India dalam PKR seperti mana yang di bangkitkan oleh Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam.

Ia dianjurkan selepas tiga hari Manikavasagam meletakkan jawatan sebagai Timbalan Pengerusi PKR.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Salehuddin Hashim yang menyambut kehadiran kumpulan berkenaan berkata perhimpunan aman tersebut menunjukkan bahawa parti itu masih lagi bersatu tanpa wujudnya masalah hingga menyebabkan keretakan dalaman seperti yang dilaporkan oleh sesetengah media.

Dalam pada itu beliau turut menasihatkan Manikavasagam supaya sentiasa berfikir secara rasional dalam memperjuangkan hak kepentingan rakyat.

"Saya tak marah Manika, beliau nak perjuangkan rakyat tak ada masalah.

"Tapi ingat fikir dengan cara yang baik dan jangan meludah ke muka sendiri," katanya dalam ucapan ringkas di hadapan penyokong-penyokong PKR itu.

Tambahnya lagi, beliau menyokong penuh jika Manikavasagam ingin membantu membela nasib kaum India namun turut mengingatkan supaya ahli Parlimen itu tidak tersasar matlamatnya.

Sebelum itu, pemimpin PKR dari Kedah, Kalai Vanar yang mengetuai perhimpuan berkenaan berkata kehadiran mereka pada hari ini ialah bagi membuktikan bahawa penyokong kaum India dalam PKR masih kekal setia bersama parti itu.

Katanya, isu kononnya sudah mula wujud keretakan dalam PKR kerana adanya diskriminasi kaum terutamanya melibatkan kaum Inda adalah mainan politik sesetengah pihak yang cuba melemahkan semangat perjuangan mereka.

Perhimpuan berkenaan turut dihadiri oleh Timbalan Presiden PKR, Dr. Syed Husin Ali, Naib Presiden PKR, R. Sivarasa, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Andalas dan Dr. Xavier Jayakumar.

Turut serta ialah pengendali blog Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin. - Mstar

Apa Pendirian UMNO Mengenai 'HUDUD'???


Oleh: ZULKIFLI YAHAYA

Tiba-tiba isu hudud dimainkan setiap hari oleh semua media talibarut BN. Untuk kali ini ia bukan dicetuskan oleh PAS, sebaliknya diada-adakan oleh BN bagi menghadapi pilihanraya kecil Kuala Terengganu.

Ia macam isu liwat dan sumpah dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh.

Semua isu tersebut lenyap serta merta sebaik keputusan pilihanraya diumumkan.Hudud dimulakan oleh Khairy Jamaludin yang mencabar Dato’ Husam Musa dalam sebuah forum anjuran Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan.

Tanya Khaity, adakah hudud akan dilaksanakan jika PR dapat memerintah Malaysia? “Ya!” tegas Husam. Ada penganalisis berpendapat Husam terperangkap kerana beliau tidak ada hak untuk menjawab bagi pihak PR dan jawapan Husam itu akan dijadikan isu untuk ‘hidangan’ masyarakat bukan Islam, khususnya lebih 9,000 pemilih di Kuala Terengganu.

Husam tidak terperangkap sebenarnya. Kalau bukan dari mulut Naib Presiden PAS itu pun, media talibarut BN boleh mendapatkan jawapan ‘ya’ dari semua pemimpin PAS yang lain. Hudud adalah hukum Allah dan berkait dengan persoalan aqidah. Tidak boleh mengatakan tidak mahu, tidak berhasrat atau tidak bercita-cita untuk melaksanakannya kerana ia merosakkan aqidah. Aqidah yang rosak, tempatnya ialah api neraka di akhirat. Wal’iyazubillah.

Namun di sebalik persoalan, ‘mahu’ melaksanakan atau tidak, terdapat isu kedua iaitu ‘boleh’ melaksanakan atau tidak. Untuk melaksanakan hudud, pindaan perlembagaan negara perlu dibuat. Untuk pinda perlembagaan perlu sokongan dua pertiga ahli Parlimen. Hakikatnya di Malaysia, tidak ada sebuah pun parti politik yang boleh mendapat mandat dua pertiga secara bersendirian. Bagi mendapat majoriti mudah pun parti-parti politik perlu bergabung membentuk pakatan. Apatah lagi PAS yang bertanding tidak sampai separuh kerusi Parlimen.

Bagi DAP yang menjadi parti komponen Pakatan Rakyat, jika benar hudud (yang tiada kena mengena dengan bukan Islam) ditolak dan ditakuti oleh majoriti masyarakat bukan Islam di negara ini; sangat mudah untuk menjelaskan kepada golongan yang ketakutan itu. Lim Kit Siang boleh berkata, “DAP adalah pelengkap kepada majoriti dua pertiga jika PR memerintah Malaysia, hudud tidak boleh dibuat tanpa sokongan DAP.” Manakala untuk pengundi Cina Kuala Terengganu, dia boleh berkata, “Hudud tidak boleh dilaksanakan di kawasan Parlimen Kuala Terengganu, jika calon PAS menang pada 17 Januari ini tetapi kuasa BN yang jahat itu boleh dilemahkan.” Nah, sangat mudah bagi DAP untuk menjelaskan kepada bukan Islam, tanpa perlu menyerang PAS dan melatah mengikut rentak provokasi BN.

Maka datang pula Ahli Parlimen Bebas dari Pasir Mas, Ibrahim Ali membuat provokasi, “Bila kucing mengiau tikus terus lari. Sama juga dengan PAS boleh ubah pendirian selepas DAP tidak bersetuju. Soalnya kenapa PAS tidak bertegas juga untuk melaksanakan hudud?”

Jika akibat isu hudud, PAS tinggalkan PR bukankah yang akan gelak besar nanti ialah BN. PAS-DAP tidak sependapat isu hudud, tetapi boleh bersama dalam 1001 isu yang lain. Kedua-duanya sama-sama memerangi kebejatan politik BN, rasuah yang berakar umbi, kronisme, ketidakadilan sosial, kezaliman ISA, penyalahgunaan wang rakyat, pelaksanaan keadilan yang pincang, tiada kebebasan media, budaya hedonisme melampau yang digalakkan, tekanan terhadap mahasiswa melalui AUKU, ketempangan demokrasi dan sebagainya.

Kesimpulannya, BN adalah bapa segala kemungkaran. Dalam konteks demokrasi berparlimen, BN hanya boleh ditumbangkan dengan penyatuan kerusi PAS, DAP dan PKR. PAS tidak boleh lari dari PR hanya kerana rakan pakatan tidak mahu hudud, lalu BN terus bermaharajalela menguasai negara. Tidak betul hanya kerana tidak dapat buat hudud maka kerja menumbangkan bapa kemungkaran dihentikan. Dalam kaedah feqah; jika tidak boleh buat semua, jangan tinggalkan semua.

Dari aspek tanggungjawab (taklif), hudud tidak wajib dilaksanakan oleh individu tetapi pemerintah. Jika ada halangan maka tertangguhlah tanggungjawab. Kanun Jenayah Syariah, yang di dalamnya terkandung hukum hudud, pernah diluluskan di DUN Kelantan dan Terengganu sewaktu pemerintahan PAS, tetapi tidak dapat dibuat kerana halangan Perlembagaan Persekutuan.

Senator Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, “PAS mempunyai tiga Menteri Besar iaitu di Kelantan, Kedah dan Perak. Kenapa mereka tidak melaksanakan hudud di negeri berkenaan, kerana sudah memerintah dan berkuasa?” Ini satu kenyataan yang amat bodoh kerana menganggap hudud boleh dibuat dengan kuasa Menteri Besar. Pelik, orang yang diberi amanah membahaskan isu perundangan di Dewan Negara jahil mengenai undang-undang.

Sekalipun hudud belum dapat dilaksana, tanggungjawab berdakwah dan memberi kefahaman kepada seluruh umat manusia berlarutan sehingga qiamat. Anehnya, UMNO yang beriya-iya mendesak PAS laksanakan hudud (dengan niat menyindir) tidak pula bertanya diri sendiri berhubung sikap mereka dalam isu hudud. Jika MCA, MIC dan Gerakan sindir DAP isu hudud, rakyat mudah faham. Bila UMNO yang turut jejak rakan kongsi mereka, rakyat keliru. Apa anutan UMNO?

UMNO juga selalu dakwa kerjasama PAS-DAP adalah pakatan sementara. Apakah kerjasama UMNO, MCA, MIC adalah pakatan kekal? Janganlah begitu, setakat di atas dunia cukuplah…

- Kerabu Bersuara

Friday, January 02, 2009

Wahid penuhi ciri kemenangan di KT

M'Kini : PAS memilih Mohd Abdul Wahid Endut untuk bertanding kerusi parlimen Kuala Terengganu kerana beliau mempunyai faktor-faktor kemenangan di kerusi itu.

Setiausaha PAS negeri Yahaya Ali berkata, antaranya ahli dan penyokong PAS mahukan beliau bertanding di kerusi tersebut.

bm version kuala terengganu parliament state seat breakdown 031208"Beliau sudah lima penggal menang di Wakaf Mempelam dan ini menunjukkan orang ramai mahukan beliau.

"Kita percaya beliau mempunyai pengaruh yang kuat di Kuala Terengganu kerana beliau juga yang dipertua PAS kawasan Kuala Terengganu," katanya ketika diminta mengulas pemilihan mengejut Abdul Wahid sebagai calon PAS dalam pilihanraya kecil itu yang bermula Selasa depan.

Pemilihannya diumumkan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Stadium Negeri di Kuala Terengganu malam tadi.

Yahaya yang juga timbalan pengarah pilihanraya PAS bagi pilihanraya kecil tersebut berkata, pemilihan Abdul Wahid tidak akan memecahkan undi para penyokong PAS.

Diminta mengulas alasan Abdul Wahid dicalonkan oleh parti itu sedangkan namanya bukan pilihan utama, Yahaya berkata, pilihan atau tidak itu "hanya senarai yang dibuat orang ramai".

Katanya, orang ramai bebas membuat pilihan mereka tetapi akhirnya pucuk pimpinan yang menentukan setelah mengambil kira pelbagai faktor.

"Pemimpin lebih tahu hendak membuat pilihan, jadi tidak perlu lagi bercakap mengenai pemilihan Abdul Wahid sebagai calon.

"(Dan) insya Allah beliau akan menang," katanya.

Abdul Wahid akan berdepan dengan ketua Umno bahagian Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh bagi merebut kerusi tersebut pada hari pengundian 17 Januari ini.

Pilihanraya kecil tersebut diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Razali Ismail, akhir November lalu.

Thursday, January 01, 2009

Perak beri dermasiswa RM 3.3 juta untuk 550 pelajar miskin

IPOH , 1 Jan (Hrkh) - Kerajaan Pakatan Rakyat Perak telah menyumbangkan sejumlah lebih RM3 juta kepada pelajar-pelajarnya dari keluarga yang miskin yang melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Pemberian ini sekaligus menyangkal sekerasnya tuduhan pembangkang Umno-BN yang menidakkan usaha kerajaan negeri memberikan bantuan dermasiswa dengan dana yang tinggi untuk anak-anak Perak melanjutkan pengajian di universiti-universiti Islam luar negara.

Demikian ditegaskan oleh Exco Agama, Pendidikan Islam, Wanita dan Kebajikan, Mohd. Zainuddin Mohd. Yusof berhubung tuduhan tidak berasas itu.

Katnya walaupun Pakatan Rakyat baru berusia tidak sampai setahun 'jagung' tetapi tidak sekali mengabaikan tanggongjawab terhadap pelajar-pelajar dari keluarga miskin untuk menyambungkan pelajaran mereka di Universiti-universiti Islam luar negara dengan bantuan dermasiswa mengikut kadar dana mencukupi.

"Kini Kerajaan Perak dalam usaha murni itu telah menghantar seramai 550 pelajar ke beberapa Universiti Islam luar negara dengan dermasiswa sebanyak RM3,325,000.00 demi meringankan beban tanggungan keluarga mereka, katanya kepada Harakahdaily.

Zainuddin menjelaskan pecahan pelajar dan jurusan yang terdiri daripada 25 orang pelajar dalam fakulti Sarjana (Masters), 360 pelajar dalam Sarjana Muda (Mesir), 50 pelajar Sarjana Muda (Indonesia), 50 orang (Jordan), 25 orang dalam Sarjana Muda di negara-negara lain dan 40 menduduki Sarjana Muda Perubatan.

Manakala sumber dana kewanganya, tegas beliau, adalah dari Majlis Agama Islam Negeri Perak melalui bahagian Zakat yang dikutip pada sepanjang tahun dari Umat Islam negeri ini dimana hasilnya amat memberangsangkan bagi digunakan semula dalam pembangunan kehidupan ummah.

Zainuddin menyeru masyarakat Islam yang mampu menyumbang dana dan zakat disamping mendapat pahala yang besar disisi Allah SWT termasuk dapat meningkatkan ekonomi rakyat.

- Harakah





PRK Kuala Terengganu : PAS Umum Calon Hari Ini

Siapakah Calon PAS yang akan Bertanding pada pilihanraya kecil di Parlimen Kuala Terengganu akan diketahui Hari ini!!!!


Calon2 Faveret aku......

1) Syed Azman
2) Mat Sabu

2009 : Perutusan Tahun Baru


Setiap kali tiba tahun baru, maka kita berkesempatan melakukan dua perkara; merenung kembali apa yang sudah kita usahakan sepanjang tahun yang bakal berlalu pergi serta menetapkan matlamat baru mahupun menjayakan apa yang belum kita capai.

Tahun 2008 merakamkan beberapa peristiwa bersejarah. Sekian lama kerajaan Barisan Nasional yang dipimpin Umno tidak pernah digugat kedudukannya, namun tahun ini rakyat membuktikan perubahan tidak pernah mustahil untuk dilaksanakan. Nuansa politik perkauman yang dipintal bersama ketakutan ditolak rakyat.

Pilihanraya Umum ke 12 menyaksikan kerusi milik pembangkang bertambah dan menafikan Barisan Nasional majoriti 2/3. Harapan rakyat begitu besar, perubahan mesti dilakukan, makanya hasil dari persetujuan dan permuafakatan ketiga-tiga parti; Pas, Dap dan Parti Keadilan Rakyat melahirkan Pakatan Rakyat. Sepanjang tahun ini tidak dapat dinafikan pelbagai cabaran yang datang untuk menggugat permuafakatan ini.

Hasrat Barisan Nasional untuk melihat kehancuran Pakatan Rakyat nampaknya menemui jalan buntu. Mereka lupa, asas kepada permuafakatan ini berpasak kuat dari cita-cita memperjuangkan agenda rakyat dan melakukan perubahan mendasar. Perubahan adalah tuntutan melewati sempadan kaum dan politik kepartian.

Negara kita berdepan dengan kedudukan ekonomi sejagat yang tidak menentu. Kesannya kepada rakyat semain terasa. Kadar Inflasi yang tinggi menyebabkan harga barang melonjak naik. Krisis keyakinan terhadap institusi keselamatan dalam negeri juga terhadap sisten kehakiman ternyata tidak membantu menarik pelaburan bagi menjana ekonomi negara. Kita tidak boleh lagi berada dalam keadaaan penafian. Kepimpinan yang menggalas beban pastinya menghakis kepercayaan rakyat. Pengurusan ekonomi memerlukan kepimpinan yang berpandangan jauh, tegas dan jujur.

Sering saya ulangi, negara ini dan rakyatnya yang berbilang kaum sudah mengharungi pelbagai rintangan bersama. Kita yakin dengan berlakunya perubahan, dan bila negara ini mula berada di haluan yang tepat, maka sekali lagi kita akan dapat melepasi cabaran ini.

Kami ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru 2009 kepada semua rakyat Malaysia.

Ubah sebelum parah, ubah demi maruah.

Selamat Tahun Baru 2009

ANWAR IBRAHIM & DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL



Wednesday, December 31, 2008

AWAS!!!! : Perangkap UMNO Selepas HUDUD!!!

Tindakan sebuah NGO iaitu PEWARIS menyerahkan memorandum bantahan pertubuhan tersebut kepada pemimpin PAS berkaitan penternakan dan ladang babi di negara ini merupakan satu kemenangan moral kepada PAS. Ini membawa erti bahawa PEWARIS akhirnya bersetuju bahawa PAS adalah parti yang boleh diharapkan setelah pertubuhan tersebut mengaku gagal mendapat perhatian sewajarnya dari UMNO. Kita jangan terlalu cepat melihat tindakan PEWARIS ini mempunyai muslihat tertentu, apatah lagi disaat PAS akan menghadapi Pilihanraya Kecil Parlimen Kuala Terengganu tidak berapa minggu lagi. Meskipun kita sedar bahawa undi kaum Cina di Kuala Terengganu adalah undi penentu samada PAS mampu merampas kerusi tersebut atau tidak, tetapi jangan pula kita terlalu cepat melatah dengan tindakan `di luar jangkaan' dari PEWARIS ini.


Umumnya mengetahui bahawa PEWARIS telah mula menonjol serta mendapat publisiti meluas samada di media-media mahupun di dalam blog-blog internet selepas Pilihanraya Umum ke 12 yang lalu. Sebelum ini, nama PEWARIS seperti juga PESAKA hampir tidak diketahui oleh kebanyakan orang. Sering dapat diperhatikan, PEWARIS sejak kebelakangan ini seolah-olah bersuara menggunakan `lidah UMNO'. Agak pelik juga apabila PEWARIS banyak `mempromosikan' dasar-dasar UMNO, tetapi UMNO gagal membantu PEWARIS berkaitan isu sekecil ini sehingga terpaksa mereka menemui pemimpin PAS pula. Memang pelik, tetapi sekali lagi diingatkan agar kita tidak mudah berfikiran negatif terhadap `nawaitu' PEWARIS ini. Kadangkala terlintas juga di hati, apakah tindakan tersebut berupa satu `perangkap' agar pengundi-pengundi Cina di Kuala Terengganu mula berfikiran serong terhadap PAS sekiranya PAS membantu PEWARIS dalam tuntutan mereka. Apa pun, niat PEWARIS tidak kita ketahui, cuma perlu kita bersangka baik terhadap mereka.

Alangkah baiknya jika PAS memberitahu kepada PEWARIS yang selama ini berjuang habis-habisan mempertahankan akta zalim ISA, agar turut bersama PAS berjuang untuk menghapuskan Akta ISA ini. Perjuangan untuk menghapuskan Akta ISA adalah lebih penting demi kesejahteraan rakyat, lebih-lebih lagi undang-undang rimba tersebut bertentangan dengan hukum Islam. Mengapa perjuangan untuk menghapuskan Akta ISA ini tidak mendapat sokongan dari PEWARIS malahan pertubuhan tersebut secara terbuka menyatakan sokongannya untuk mempertahankan akta tersebut ? Oleh yang demikian, perlu difikirkan kembali wajarkah PAS membantu PEWARIS dalam isu remeh temeh seperti penternakan babi sedangkan dalam masa yang sama usaha PAS dan Pakatan Rakyat untuk berjuang dalam isu yang lebih besar seperti Akta ISA, isu pengajaran Sains dan Metamatik dalam Bahasa Inggeris dan beberapa isu lain yang melibatkan kepentingan besar rakyat tidak mendapat sokongan dari PEWARIS. Sewajarnya PEWARIS turut menyokong usaha Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor kerana sedang berusaha menyediakan plan atau rancangan penternakan babi secara moden tidak sepertimana yang terdapat di Melaka, contohnya.

Akhirnya, suka atau tidak, benar atau salah, fikiran kita lebih cenderung untuk mengatakan tindakan PEWARIS menghantar memorandum ini kepada PAS di saat-saat PAS menghadapi Pilihanraya Kecil Kuala Terengganu boleh dikatakan seperti ` ada udang di sebalik batu'. PAS hampir terperangkap dengan isu Hukum Hudud baru-baru ini, tetapi barang diingat musuh PAS tidak akan boleh tidor lena selagi rakyat tidak membenci PAS dan PAS dilihat semakin intim dengan parti-parti di dalam Pakatan Rakyat..


SUMBER : Kerabu Bersuara

Blog Stats