Sumbangan ~ Tolong Klik.... Thanks.

Saturday, December 20, 2008

KT: AJK saran BN calonkan Mohd Zuber Embong

Malaysiakini : Seorang ahli jawatankuasa (AJK) Umno bahagian Kuala Terengganu menggesa Umno memilih pegawai kanan Jabatan Pendidikan Terengganu, Mohd Zuber Embong sebagai calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu 17 Januari depan.

Sulaiman Ali berkata, pemilihan Mohd Zuber yang juga bekas ketua penerangan bahagian tersebut, boleh membantu menyelesaikan masalah perebutan calon di kalangan pemimpin BN.

“Oleh kerana ramai yang hendak menjadi calon, lebih baik Umno memilih Zuber yang pernah menjadi ketua penerangan Umno bahagian dan juga orang lama dalam parti.

“Saya rasa antara 85 hingga 95 peratus daripada 104 cawangan di bahagian Kuala Terengganu boleh menerima Zuber sebagai calon.

‘Zuber juga boleh menarik sokongan antara 2,000 hingga 3,000 guru dan pegawai pendidikan yang tinggal di Parlimen Kuala Terengganu mengundi BN.

“Kini orang Umno di sini (Kuala Terengganu) bercakap bahawa Zuber adalah orang yang paling layak menjadi calon BN,” katanya.

Sulaiman berkata demikian ketika diminta mengulas desas-desus bahawa BN sukar untuk memilih calon yang sesuai bertanding kerusi Parlimen tersebut.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual mengumumkan calon BN dalam satu majlis di Kuala Terengganu hari ini.

Tiga calon bebas

Selain Zuber, nama-nama lain yang disebut-sebut sebagai calon BN ialah ketua bahagian, Senator Datuk Wan Ahmad Farid Wan Sallleh, timbalan ketua bahagian, Mohd Sabri Alwi,

bendahari Umno negeri, Senator Datuk Roslan Awang Chik dan bekas ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Zuber Embong.

Sementara itu, Mohd Zuber ketika dihubungi berkata, beliau belum menerima tawaran untuk menjadi calon BN Parlimen Kuala Terengganu.

“Tetapi ramai termasuk di kalangan orang Umno yang bercakap bahawa saya akan menjadi calon BN.

“Namun saya rasa Datuk Wan Ahmad Farid yang paling sesuai bertanding kerusi Parlimen Kuala Terengganu kerana beliau merupakan ketua Umno bahagian,” katanya.

PAS pula akan mengumumkan calonnya pada hari Ahad. Antara nama yang disebut-sebut sebagai calon PAS ialah Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu; Ahli Dewan Undangan Negeri

(Adun) Batu Burok, Dr Syed Azman Ahmad Nawawi; Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Mustafa Ali; Timbalannya, Datuk Wan Mutalib Embong dan tokoh korporat, Mohd Khazani Abdullah.

Selain itu, Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim) telah menyatakan minat untuk bertanding. Tiga orang lagi telah menyatakan minat mereka untuk bertanding sebagai calon bebas.

Mereka ialah Maimun Yusuf yang bertanding dalam pilihanraya umum lalu dan dua orang lagi ialah usahawan, Mohd Azlan Ismail dan Isma Airfath Hassanuddin dari Rantau Panjang, Kelantan.

Pilihanraya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Razali Ismail di Genting Highland, 28 November lalu.

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menetapkan 6 Januari sebagai hari penamaan calon dan 17 Januari pula sebagai hari mengundi.

0 comments:

Post a Comment

Blog Stats