KUALA LUMPUR: Samping songket berharga RM3,000 bermotif bunga kesidang, berwarna hitam dan diikat stail Allahyarham P. Ramlee akan dipakai buat pertama kali oleh Datuk Shah Rukh Khan ketika menerima anugerah Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) esok.
Samping songket rasmi negeri Melaka bermotif bunga kesidang itu belum pernah dipakai oleh mana-mana penerima gelaran ‘Datuk’ lagi.
Ini disahkan oleh Pengerusi Jawatan Kuasa Sumber Manusia, Kesihatan dan Hal Ehwal Pengguna Melaka, Datuk Kapt (B) Ab. Karim Sulaiman di sebuah sidang akhbar tengahari tadi di Pejabat Sovereign Wear Sdn Bhd, Sri Hartamas.
Fabrik samping dan baju Melayu yang bakal dipakai oleh Datuk Shah Rukh Khan pada 6 Disember ini. -foto mStar oleh SITI AZIRA
Majlis penerimaan pingat DMSM akan berlangsung pukul 10 pagi di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka. "Jadi, Shah Rukh Khan merupakan orang pertama yang menggunakannya kerana tahun ini kita baru mula gunakan songket tersebut untuk penerima gelaran ‘Datuk’,” kata Ab Karim.
Tambah beliau, Shah Rukh Khan akan mengenakan samping mengikut stail Allahyarham P. Ramlee dan dipakai bersama bengkungnya sekali.
Samping itu pula akan diikat oleh penajanya iaitu Institut Seni Malaysia Melaka (ISMA).
Persalinan baju Melayu pula disediakan oleh pereka dan penaja baju dari butik Sovereign Wear Sdn Bhd.
Menurut Pengarah Urusan Huzry Fionnawatty Hussein yang bertindak selaku pereka dan penaja baju tersebut, baju Melayu Shah Rukh Khan itu akan menggunakan fabrik ‘Italian crepe’ berwarna hitam bersama songkok.
Tambahnya, harga baju Melayu tersebut dianggarkan berharga dalam lingkungan RM550 sepasang kerana fabriknya berharga dalam RM85 semeter.
Ab. Karim ditugaskan untuk mengiringi Shah Rukh Khan semasa upacara tersebut berlangsung.
Shah Rukh Khan juga bakal mengenakan baju Melayu cekak musang berbutang lima.
Anugerah itu nanti akan disampaikan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Khalil Yaacob dengan disaksikan 1,000 tetamu kehormat.
Difahamkan, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ali Rustam memaklumkan untuk menempah baju tersebut kelmarin ketika beliau berada di Paris.
"Saya berasa gembira dan dihargai apabila diberi peluang oleh kerajaan negeri Melaka.
"Ia merupakan cabaran buat kami untuk menyiapkan baju tersebut dalam masa yang singkat sebelum esok. Kami akan buat yang terbaik,” kata Huzry yang sudah beberapa kali menerima tempahan dari kerajaan negeri Melaka untuk upacara istiadat.
Mengenai ukuran badan Shah Rukh Khan, Huzry berkata pihaknya membuat anggaran berdasarkan ketinggian aktor bertubuh sasa 5 kaki 8 inci.
"Itu pun kami lebihkan setengah inci pada setiap ukuran seperti di lengan dan dada kerana lebih molek begitu untuk baju Melayu," jelasnya.
Jelasnya lagi, "Insya-Allah baju Melayu itu akan siap sepenuhnya pada esok hari."
Sebelum ini, Sovereign Wear yang ditubuhkan sejak lebih dua tahun itu pernah menerima tempahan pakaian daripada menteri dan timbalan menteri seperti Datuk Noh Omar dan Datuk Noraini Ahmad.
Kata Huzry, disebabkan mereka berbesar hati dengan penghormatan yang diberikan oleh kerajaan negeri Melaka ini, pihaknya akan menghadiahkan sahaja baju tersebut kepada pelakon popular filem Kuch Kuch Hota Hai itu. - mStar
0 comments:
Post a Comment