Sumbangan ~ Tolong Klik.... Thanks.

Thursday, November 06, 2008

Kalau Lim Guan Eng Baca Ayat Ini… - Malaysiakini

CATATAN SANTAI: Ibnu Hasyim

SEORANG bloger menghantar e-mail kepada saya, melampirkan tulisan berjudul ‘Bapa meninggal, saya masuk Islam – Lim Guan Eng’ dari blog http://suaramerdeka.wordpress.com (April29, 2008). Dia meminta komen saya mengenai kenyataan Ketua Menteri Pulalu Pinang, Lim Guan Eng yang menggemparkan hadirin dengan ucapan beliau ketika turun berceramah, bahawa beliau ingin mengikut jejak langkah Umar Abdul Aziz, Khalifah Islam pada zaman pemerintahan Bani Umaiyah.

Kebetulan pada masa ini saya sedang membaca Al-Qur’an Surah Thaha, Surah ke 20 yang diturunkan di Makkah terdapat 135 ayat dalam juzuk ke 16. Surah yang telah memanggil seorang penting dan berjasa besar kepada Islam dan kemanusiaan, kerana tertarik atau terpesona hanya dengan membaca beberapa ayat di permulaan surah. Beliau adalah Khalifah Islam Ke 2 Umar Al-Khattab, bukan Khalifah Umar Abdul Aziz seperti yang disebutkan idola Guan Eng. Waktu itu Umar Al-Khattab masih belum Islam lagi dan amat memusuhi Nabi.

Menurut riwayat Ibnu Ishaq…

‘Sesungguhnya keluarlah Umar dari rumahnya dengan pedang tersentak. Tujuannya ialah hendak mencari Rasulullah dan terus membunuhnya. Di tengah jalan beliau bertemu Na’im bin Abdullah, “Nak ke mana kau, Umar?” Tanya Na’im.

“Aku nak cari Muhammad, orang yang telah belot dari agama nenek-moyang itu. Dia yang memecah-belah Quraisy. Dia yang mencaci berhala, hina agama, memaki tuhan-tuhan mereka, aku cari untuk membunuhnya!” Jawab Umar.

Kata Na’im pula, “Sebenarnya, engkau telah ditipu oleh dirimu sendiri, Umar. Engkau ingat keturunan Abdi Manaf akan biarkan engkau berjalan-jalan rileks di atas muka bumi ini setelah engkau bunuh Muhammad? Lebih baik engkau pulang kepada keluargamu sendiri, urus mereka yang telah lakukan apa yang engkau tidak senangi itu!”

“Keluarga yang mana?” Tanya Umar.

“Suami adik perempuanmu, anak pamanmu sendiri, iaitu Sa’id bin Zaid, dan saudara perempuanmu Fatimah binti Al-Khattab. Keduanya telah masuk Islam, keduanya telah jadi pengikut Muhammad. Pergi urus mereka berdua itu!”

Mendengar itu, Umar kembali ke rumah ipar dan adiknya itu. Sesampai di sana, dijumpai pula seorang lain, iaitu Khabbab bin Al-Aratti. Di tangannya terdapat sehelai kertas catatan surah Thaha yang sedang dibaca kepada kedua suami isteri itu. Selesai mereka mendengar, Umar melihat Khabbab lari bersembunyi ke sebuah bilik atau bahagian lain di rumah itu. Fatimah mengambil kertas catatan itu dan menghimpit di bawah pahanya (cuba sembunyikan). Pada hal sewaktu nak masuk ke perkarangan tadi sudah didengarnya suara Khabbab membaca kepada mereka berdua.

Umar terus masuk, bertanya, “Bacaan apa yang perlahan-lahan aku dengar dari luar tadi?”

“Takde apa-apa.” Jawab dua suami isteri itu.

Umar membantah, “Tentu ada yang kamu baca tadi. Demi Allah, aku dah tahu, kamu berdua telah ikut agama Muhammad.” Dipukul iparnya itu hingga rubuh. Fatimah bangun nak tahan tangan Umar dari pukulan berterusan, tetapi dia pula dipukul hingga tersungkur jatuh.

Melihat sikap Umar itu, akhirnya serentak keduanya berkata, “Memang, kami telah Islam. Kami telah beriman kepada Allah dan Rasulnya. Kau buatlah apa yang kau mahu!”

Melihat darah telah mengalir pada wajah saudara perempuannya, timbullah sesal. Dipegangnya muka adik perempuannya dan berkata, “Berilah padaku kertas catatan yang aku dengar kamu baca tadi. Aku nak tahu apa yang dibawa dan diajarkan Muhammad?” Memang Umar seorang yang pandai menulis membaca.

“Kami bimbang engkau apa-apakan catatan itu!” Jawab saudara perempuannya itu.

“Jangan kau bimbang!” Lalu Umar bersumpah demi dewa-dewa dan berhala seperti yang dia percaya, di mana catatan itu akan diberi balik segera sesudah dibaca. Jawapan yang menimbulkan harapan Fatimah, bahawa abang kandungnya akan masuk Islam.

“Oh saudara kandungku, kau ni masih najis kerana masih musyrik. Sedangkan catatan ini tidak boleh disentuh, kecuali oleh orang-orang yang bersih.” Kata Fatimah.

Umar terus pergi mandi, lepas itu barulah catatan itu diserahkan adiknya. Dibacanya, Thaha! Setelah beberapa ayat, terloncatlah ucapan dari mulutnya, “Alangkah bagusnya perkataan ini dan alangkah mulianya!”

Khabbab yang sedang bersembunyi, bila dengar kata-kata itu terus keluar dan berkata kepada Umar, “Ya Umar. Demi Allah, sesungguhnya besar harapanku Allah telah khaskan engkau akan masuk Islam dengan seruan NabiNya. Semalam ku dengar sendiri Rasulullah berkata. ‘Ya Allah, kukuhkan Islam ini dengan Abi’l Hakam bin Hisyam (gelaran Abu Jahl) atau dengan Umar bin Al-Khattab. Allah. Allah, ya Umar!”

“Khabbab. Tunjuklah kepadaku mana rumah Muhammad sekarang, aku nak temuinya dan menyatakan memeluk Islam.”

Selanjutnya Umar menemui Nabi dan mengucap kalimah syahadah di hadapan beliau.’

Berbalik kepada Guan Eng dalam kenyataannya itu tadi berkata, ketika beliau dipenjarakan dulu, Dato’ Fadhil Noor (Al Marhum Presiden PAS) adalah antara orang yang kerap mengunjungi beliau. Bahkan Dato’ Fadhil Noor kerap membekalkan buku-buku berkaitan dengan Islam, termasuklah buku mengenai kisah Umar Abdul Aziz. Dari buku-buku tersebutlah Guan Eng mengenali tokoh Islam itu.

Pernah pula Tuan Guru Nik Abdul Aziz Mursyidul Am PAS dengan ikhlas berdoa supaya orang Cina jadi pemimpin penting PAS (Jun3, 2007). Antaranya…

Mudah-mudahan suatu hari nanti orang Cina menjadi pemimpin penting PAS. Orang Cina masuk Islam kerana mereka belajar. Sebaliknya pula orang Melayu masuk Islam kerana tok nenek mereka Islam. Masuk otomatik hanyut begitu sahaja menyebabkan banyak masalah-masalah yang timbul hasil daripada mereka Islam dengan tidak belajar. Orang Cina sekarang semakin ramai. Yang belajar Islam, mereka lebih baik daripada orang Melayu tradisi.

Boleh jadi satu hikmat Allah Taala letak pejabat PAS di tengah-tengah masyarakat yang tidak banyak orang Islam. Dalam sejarah Islam, semua kitab-kitab hadith (Sunan Sitar) ada enam buah hadith semuanya dikarang oleh bukan Arab. Begitulah juga pimpinan

Islam di seluruh dunia yang jarang sangat orang Arab memimpin. Yang memimpin adalah orang Parsi, Sepanyol. Turki, India dan lain-lain. Oleh yang demikian apa peliknya kalau pejabat PAS, gerakan Islam ada ditengah-tengah masyarakat yang tidak banyak orang Melayu.”

Begitu juga dengan kenyataan beberapa pemuda Islam Cina seperti Kamal Koh dan rakan-rakannya yang menyertai PAS suatu ketika dulu, mereka memohon pandangan beberapa bekas-bekas tokoh lama DAP mengenai kemasukan mereka… Kata tokoh itu, kalau beliau muda sebaya mereka, beliau juga akan memeluk Islam, kerana untuk menjadi pemimpin tertinggi yang diterima rakyat negara ini mestilah orang Islam, walaupun bukan Melayu.

Mengenai ayat-ayat yang menjadi penyebab Umar Al-Khattab pilih Islam, menurut suatu riwayat Al-Allamah Ali bin Burhanuddin Al-Halabi dalam Siratul Halabiyah, kandungan isinya ialah...

Pertama:

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang’, bila membaca nama Allah ini, timbul gementar Umar, lalu dilepaskan kertas kulit itu dari tangannya. Kemudian diambil lagi dan dibacanya. ‘Segala apa yang ada di langit dan bumi semuanya membaca tasbih mensucikan Allah, Ialah Maha Gagah Lagi Maha Bijaksana.

Menurut kata Umar sendiri, setiap ia bertemu dengan nama Allah, timbul gentar dalam dirinya, dan ia lemparkan lembaran itu. Kemudian ia insaf kembali dan membaca lambaran itu seterusnya. Kemudian ia baca lagi lagi dan bertemu dengan ayat-ayat yang mengatakan, ‘Percayalah kamu dengan Allah dan RasulNya...’ seterusnya sampai kepada ayat, ‘Jika adalah kamu orang yang percaya adanya...’ ketika itu Umar pun mengatakan...

“Saya mengaku tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad Rasul Allah.” Melihat keadaan demikian takbirlah orang-orang berada dalam rumah itu, membesarkan Allah atas nikmatnya yang amat besar, dan menjadi pukulan besar kepada kaum musyrikin.

Kedua:

Ada riwayat lain mengatakan, lembaran yang dibaca Umar dan menginsafkannya itu adalah awal surah Thaha . Dimulai dengan Bismillah, dari ayat 1 hingga ayat 16.

Maka marilah kita sama-sama membaca dan menyelidiki, merenung dan berfikir mengenainya. Bagaimana kalau Lim Guan Eng membaca ayat ini? Beliau pun boleh rujuk tafsir Al-Qur’an. Saya harap dia baca tulisan ini…

Begitulah catatan santai berupa ingatan dan panduan dalam dalam hidup kita, bukan menyindir mana-mana pihak. Wabilahi taufik wal hidayah. Amin!

Catatan santai: ibnuhasyim.com
(e-mail: ibnuhasyim @gmail.com

Antara tulisan yang ada kaitan dengan Lim Guan Eng ialah:

1...Thursday, May 15, 2008 Guan Eng: PP Hilang Pelabur RM1 Billion Kerana BN...
2... Sunday, August 24, 2008 DAP Perlukan Orang Melayu, Kita kena Sokong?
3… August07, 2008 Guan Eng Tuduh Pembangkang UMNO Kafir?
4… Wednesday, August 13, 2008 Mengapa Guan Eng Pilih Umar, Tidak Muawiyah?
5… Sunday, August 10, 2008 Siapa Guan Eng, Berbanding Umar Abdul Aziz?

0 comments:

Post a Comment

Blog Stats