Malaysiakini : Tengku Razaleigh Hamzah gagal mendapat cukup pencalonan untuk jawatan presiden Umno kerana enggan menyogok wang kepada para perwakilan, dakwa seorang pembantu bekas menteri kewangan itu.
Datuk Kamal Amir Kamal Hijaz mendakwa, wakil lebih 50 bahagian Umno yang hendak mengadakan mesyuarat perwakilan, datang menemuinya (Kamal) untuk meminta sogokan sebelum mesyuarat dijalankan.
"Ada yang datang meminta RM500 dan ada juga yang mahu bayaran sehingga RM1,500 seorang.
"(Tetapi) saya memberitahu mereka bahawa kami tidak ada wang. Tengku (Razaleigh) tidak mahu mengeluarkan wang untuk mendapatkan pencalonan.
"Tengku hanya menawarkan diri supaya dinilai dan dipilih oleh para perwakilan dan bukannya memberi wang untuk mendapatkan pencalonan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Sehingga ini, Datuk Seri Mohd Najib Razak memperolehi 141 pencalonan untuk jawatan presiden Umno daripada 142 bahagian yang telah mengadakan mesyuarat.
Manakala Razaleigh hanya mendapat satu pencalonan - di bahagiannya sendiri, Gua Musang yang mengadakan mesyuarat Sabtu lalu.
'Undi angkat tangan'
Berikutan itu, Najib yang kini timbalan presiden Umno menang tanpa bertanding jawatan presiden itu dalam perhimpunan yang akan diadakan pada 24 hingga 28 Mac tahun depan.
Sebanyak 50 bahagian Umno lagi akan mengadakan mesyuarat pada Sabtu dan Ahad ini, hari terakhir jadual mesyuarat perwakilan selama sebulan.
Kamal Amir berkata, 67 bahagian mencalonkan Tengku Razaleigh untuk jawatan presiden Umno.
Daripada jumlah tersebut, katanya, 66 daripada bahagian tersebut menjalankan pengundian secara terbuka melalui kaedah angkat tangan.
"Bahagian-bahagian tersebut termasuk di Kelantan. Hanya mesyuarat bahagian Muar (yang turut mencalon Ku Li) Ahad lalu, dijalankan secara undi sulit.
"Jika mesyuarat dibuat secara undi sulit, saya yakin keadaan pencalonan untuk Tengku (Razaleigh) boleh berubah," katanya.
Kamal Amir berkata, kebanyakan mesyuarat bahagian tidak membincangkan usul, sebaliknya perwakilan meninggalkan mesyuarat selepas selesai mengundi.
Ini, katanya, seolah-olah perwakilan hanya mahu mengundi dan tidak berminat untuk membahaskan usul seperti dalam mesyuarat perwakilan sebelumnya.
Liga Super Musim Depan Pasti Suram Jika Kedah FC Turun Liga Dan Sri Pahang
FC Pula Tarik Diri
-
MASA depan dua kelab Liga Super menjadi tanda tanya dengan mereka
dilaporkan tidak akan bertanding dalam saingan tersebut pada musim depan.
Dua kelab yan...
2 days ago
0 comments:
Post a Comment