Sumber : Pahang Daily
PETALING JAYA: Selepas turun sebanyak 15 sen pada awal bulan ini - buat kali keempat, harga minyak dijangka diumumkan turun lagi pada hari ini oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna. Minggu lepas, Menterinya, Datuk Shahrir Abdul Samad menyatakan tentang harga minyak yang dijangka turun pada pertengahan bulan ini. Ini berikutan harga purata minyak yang berada di paras AS$70 setong pada masa ini. "Pada bulan Oktober lalu harga minyak berada di paras antara AS$74-AS$77 dan menurun kepada AS$70 semasa lapan hari terakhir bulan tersebut," kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad di Johor Bharu. Shahrir berkata, harga niaga hadapan minyak iaitu pada bulan Disember juga menunjukkan ia akan berada pada paras di bawah AS$70.
Trend harga minyak yang menurun itu, kata beliau, akan membolehkan harga minyak di pampam stesen minyak dikurangkan lagi pada harga yang berpatutan. Awal bulan ini, harga petrol RON97 dikurangkan daripada RM2.30 seliter kepada RM2.15 seliter, petrol RON92 dikurangkan daripada RM2.20 seliter kepada RM2.05 seliter dan diesel dikurangkan daripada RM2.20 seliter kepada RM2.05 seliter. Ia merupakan kali keempat kerajaan menurunkan harga minyak selepas 23 Ogos, 24 September dan 15 Oktober. Sebelum ini, harga petrol RON97 turun dari RM2.70 seliter kepada RM2.55, RM2.45 dan RM2.30 manakala petrol RON92 dari RM2.62 seliter kepada RM2.40, RM2.30 dan RM2.20. Diesel pula turun dari RM2.58 seliter kepada RM2.50, RM2.40 dan RM2.20.
Mengenai kenaikan harga minyak pesawat ringan, Shahrir berkata, ia bukan bahan yang dikawal oleh kerajaan. Katanya, kenaikan harga minyak tersebut dari RM6.20 kepada RM9.53 seliter di Kuala Lumpur dan RM9.80 seliter di Langkawi adalah berikutan kekurangan bekalan bahan itu. Harga minyak yang diimport dari Amerika Syarikat, Australia dan Thailand itu ditentukan oleh penjualnya. Kenaikan itu, katanya, adalah sementara dan dijangka kembali normal tidak lama lagi. Katanya, kerajaan akan melihat kemungkinan membuka penjualan minyak ini kepada pihak lain selain Petronas. Beberapa sekolah penerbangan dan pemilik pesawat ringan peribadi dilaporkan merungut berikutan kenaikan harga minyak itu yang jauh berbeza dengan harga yang dijual di negara jiran Singapura pada S$2.61 (RM6) seliter.
[Sebenarnya, laporan media hari ini menyebut bahawa minyak global sudah menurun hingga AS$60 setong. Ini bermakna, kerajaan harus menurunkan harga minyak dibawah paras RM2.00 ataupun sama dengan harga asal RM1.92 dulu. Jika tidak, tiada maknanya kerajaan bermain dengan kata-kata kononnya minyak global turun maka minyak tempatan akan turun. Mereka begitu mudah naikkan harga minyak, tetapi begitu payah dan sulit untuk menurunkan harga minyak. Inilah yang menghairankan kita sebenarnya].
0 comments:
Post a Comment