Sumbangan ~ Tolong Klik.... Thanks.

Sunday, December 21, 2008

TGHH: Calon PAS diketahui hari ini

KUALA TERENGGANU,21 Dis (Hrkh) - PAS akan mengumumkan bakal calonnya yang akan bertanding menyertai Pilihan Raya Kecil P.36 Kuala Terengganu selepas mesyuarat PAS Pusat di Kuala Terengganu hari ini.

Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang berkata pengumuman calon akan diadakan selepas mesyuarat PAS Pusat, mesyuarat Lajnah Politik PAS Pusat dan mesyuarat Majlis Syura Ulama PAS Pusat.

Ini kerana, katanya proses pencalonan dalam PAS mesti diserahkan kepada PAS Pusat serta Jawatankuasa Politik PAS Pusat dan akan diluluskan oleh Majlis Syura Ulama PAS Pusat sama ada lulus atau pun tidak seseorang calon tersebut.

"Calon PAS akan diumumkan selepas mesyuarat PAS Pusat dan mesyuarat Politik PAS Pusat. Proses pencalonan dalam PAS mesti diserahkan kepada Pusat dan Jawatankuasa Politik. Majlis Syura Ulama PAS Pusat yang akan meluluskan calon itu sama ada layak atau pun tidak layak," jelasnya ketika ditemui selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu, di Wisma Darul Iman,kelmarin.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pihak media mengenai senarai nama bakal calon PAS yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil P.36 Kuala Terengganu pada 17 januari 2009 depan.

Dato' Seri Abdul Hadi berkata pemilihan calon PAS yang akan bertanding dalam PRK ini adalah mereka yang mendapat sokongan di peringkat bawahan dan pandangan semua pihak.

Katanya, pemilihan calon bukan sekadar mendapat mandat dari ahli dan penyokong PAS termasuk pihak-pihak lain yang berada di kawasan Bandar Kuala Terengganu.

"Pilihan Raya Kecil ini, saya kena tunggu laporan dari semua pihak termasuk daripada cawangan, kawasan-kawasan dan negeri.

"Kita (PAS) akan melihat post mortem pilihan raya lalu dan akan kaji secara terperinci, dan kajian dibuat di peringkat bawah kerana kita (PAS) perlu melihat bukan sahaja penyokong PAS termasuk pengundi-pengundinya dan keperluan masyarakat setempat.

"Kita semua tahu kawasan itu kawasan bandar dan kawasan hampir bandar, sudah tentulah mereka (pengundi) mempunyai pendekatan yang berbeza dengan kawasan pilihan mereka. Itu akan kita kaji," ujarnya.

Bahkan, kata Ustaz Abdul Hadi pandangan 'surat layang' dan bloggers turut diambil kira bagi menentukan calon yang benar-benar layak.

Selain itu, beliau turut menjelaskan peluang PAS baik bagi mencapai kemenangan berdasarkan jumlah undi yang diperolehi di peringkat Dun-dun.

Katanya, kemenangan PAS di tiga kerusi Dun seperti Dun Batu Burok, Dun Wakaf Mempelam dan Dun Ladang membolehkan kerusi Parlimen itu dimenangi.

"Kawasan Bandar ini pengundinya sudah selesa. Infrastruktur tidak jadi masalah, kemudahan asas semua sudah dapat dan yang penting ialah mereka (pengundi) menilai sendiri.

"Sebab itu, faktor ketokohan calon yang baik itu sangat penting bagi Pilihan Raya Kecil di Bandar Kuala Terengganu ini," ujarnya.

Beliau memberi kesanggupan sedia 'turun padang' berkempen serta menemui para pengundi bagi mempastikan calon PAS mencapai kemenangannya.

Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu terpaksa diadakan bagi mengisi kekosongan kerusi tersebut berikutan kematian penyandangnya, Dato' Razali Ismail yang juga Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia pada 28 November lalu.

- Perisik Rakyat

0 comments:

Post a Comment

Blog Stats