Skuad Dun Batu Caves : KeADILan perlu memberikan penjelasan berhubung kegagalan pelan 16 September yang dicanangkan kepada umum pada Kongres KeADILan peringkat nasional yang akan berlangsung pada 28,29 dan 30 November akan datang.
Seorang pensyarah sains politik sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam yang enggan dikenali berkata, parti tersebut perlu membuat penjelasan mengenai kegagalan tersebut bagi menjaga sokongan masyarakat umum khususnya para pengundi pembangkang yang berharap ia menjadi kenyataan.
"Mereka mempunyai sokongan dan kepercayaan pengundi khususnya yang amat berharap akan berlaku perubahan selepas kemenangan Dato' Seri Anwar Ibrahim di Permatang Pauh, dan apabila 16 September gagal apa alternatif baru," katanya kepada Harakahdaily.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan agar perkara-perkara berkaitan konsep multi-racial yang ingin diketengahkan oleh Pakatan Rakyat diperincikan.
"Ia termasuklah bagaimana KeADILan merangka hala tuju bagi membina Malaysia baru serta menguatkan hubungan sesama rakan dalam Pakatan Rakyat.
"Bahkan mereka perlu turut berperanan bagi membangunkan kebajikan ahli KeADILan serta sumbangan yang telah diberikan khususnya terhadap negeri yang diterajui parti itu," ujarnya.
Walau apapun, apa yang penting ujarnya, KeADILan perlu fokus untuk mengurus selia tugas dan tanggungjawab yang diberikan buat masa ini agar ia tidak menjadi sia-sia.
"Fokus pada tanggungjawab mentadbir Selangor sebagai negeri yang kaya dengan sumber pendapatan kerana kita bimbang mereka akan jadi seperti yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran," katanya lagi.
Tambahnya lagi, KeADILan perlu mencari dan membentuk formula pembentukan sebuah kerajaan selepas meneliti kelemahan kerajaan Umno-BN yang memerintah negara ini sejak 51 tahun lalu.
Kongres KeADILan Nasional akan diadakan di Stadium Melawati Shah Alam bermula 28 hingga 30 November akan datang. - (Hrkh)
ARef : Aku setuju bonar tuuuuuu..... Mesti jelaskan, kalau ada masalah, sama2 kita pikirkan.....
0 comments:
Post a Comment