Sumbangan ~ Tolong Klik.... Thanks.

Monday, September 22, 2008

'Mentaliti Suka Haramkan' Punca PAS T'ganu Tewas


Pendekatan keras dan tiada senarai keutamaan menyebabkan PAS Terengganu tewas di tangan BN dalam pilihanraya umum ke-12 yang lalu, kata Timbalan Pesuruhjaya II PAS Selangor, Khalid Abdul Samad.

“Kami di Selangor yang jauh lebih lemah daripada mereka, tetapi kami berjaya. Lalu apa yang perlu difikirkan ialah mungkin ada strategi dan kaedah mereka yang perlu diperbaiki.

“Kerana tidak ada sebab mereka harus kalah, sedangkan negeri-negeri lain yang yang lebih sukar, kita boleh menang,” katanya dalam satu temubual.

PAS negeri itu di bawah pimpinan pesuruhjayanya Datuk Mustafa Ali dikatakan mempunyai “mentaliti mengharamkan apabila berkuasa” daripada “menyediakan suasana maa'ruf”.

Antara yang menjadi sasarannya, tambah Khalid, persembahan konsert, minuman keras, judi dan cara berpakaian.

Bercakap kepada Ummahonline.com minggu lalu, beliau turut mengkritik kenyataan Mustafa yang bernada tidak yakin dengan projek peralihan kuasa yang diusahakan penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 16 September lalu.

Tindakan itu, menurut Khalid, “cukup merugikan kerjasama politik dan setiakawan” dengan dua parti lain dalam Pakatan Rakyat.

Mengulas kontroversi kenyataan Mustafa dalam Utusan Malaysia dan Harakah – masing-masing 11 dan 12 September lalu, Khalid berkata:

“Sama ada bermoral ataupun diktator (tindakan Mustafa), saya tidak mahu cakaplah. Tapi, memang tidak patutlah dia buat begitu.

“Dia sepatutnya menyedari bahawa Harakah sepatutnya digunakan untuk pandangan rasmi, ataupun untuk mana-mana pandangan-pandangan yang selari dengan pandangan yang rasmi."

Beliau turut mengakui, “sedikit sebanyak ada kebenaran” bahawa presiden parti itu Datuk Seri Abdul Hadi Awang dipengaruhi Mustafa dalam merumuskan keputusan parti.

“Saya rasa sedikit sebanyak mesti ada kebenaran. Saya tahu bahawa Ustaz Hadi menghormati Cikgu Pa dari segi bacaan politiknya,” katanya.

Rundingan sulit PAS-Umno, yang mendapat sokongan kuat Abdul Hadi, dikatakan didorong oleh analisis Mustafa.

- Malaysiakini

0 comments:

Post a Comment

Blog Stats