Sumbangan ~ Tolong Klik.... Thanks.

Friday, September 19, 2008

Hapuskan kuota atau hapuskan UMNO?


“Hapuskan sistem kuota!” Begitulah saranan Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Rafidah Aziz kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan hari raya Wanita Umno kepada Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia beberapa hari lepas.

Kenyataan itu dibuat sebagai menyokong saranan Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen supaya sistem kuota dalam pemilihan parti dihapuskan bagi menjaga kestabilan parti daripada gejala negatif dalam dunia politik. Saranan tersebut turut mendapat sokongan beberapa tokoh UMNO termasuk seorang tokoh veterannya, Tan Sri Abdul Aziz Tapa yang sebelum ini memperjuangkan hal yang sama.


Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tindakan itu perlu kerana sistem kuota tersebut telah menyebabkan berlakunya masalah politik wang dalam UMNO yang kini dilihat semakin berleluasa. Tegas beliau, selagi sistem berkenaan tidak dihapuskan selagi itu masalah politik wang di dalam UMNO tidak akan selesai. "Saya telah menyatakan pendirian saya beberapa kali sebelum ini iaitu sistem kuota sepatutnya telah lama dihapuskan kerana ia menjadi penyebab berlakunya rasuah politik dalam UMNO.

Sementara itu, beberapa pemimpin parti termasuk Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid sebaliknya mahu sistem kuota itu dipertahankan.

Perkelahian pendapat dalam tubuh parti politik yang berasaskan bangsa dan manfaat itu dapat disaksikan oleh semua, menandakan ketidaksefahaman dalam pemikiran dan persepsi. Apa yang dikejar hanyalah peluang dan manfaat melalui peraihan kuasa. Kedudukan dalam UMNO, seperti yang sedia maklum, merupakan platform paling penting mendapatkan pelbagai keistimewaan (privilege) terutamanya dalam bidang pangkat dan kekayaan. Di samping itu juga, kedudukan pemimpin yang memegang tampuk kuasa parti memperoleh semacam ‘kekebalan’ dari perundangan di bawah sistem demokrasi ciptaan mereka, umpama bidalan menyebut:-

“Demokrasi umpama sarang labah-labah, yang kerdil terperangkap, manakala yang besar merempuh dan memusnah”

Golongan yang berkuasa inilah yang selalunya kebal dan boleh melakukan apa sahaja atas nama demokrasi. Manakala yang lebih lemah akan menjadi ‘mangsa-mangsa’ yang tersekat dan tersepit di sarang labah-labah. Lagi besar kuasa yang mereka miliki, lagi rakus dan lagi kejam sistem yang mereka buat demi mengekalkan kekuasaan. Dan inilah yang mereka namakan sebagai keadilan, kerana ‘keadilan’ bagi mereka adalah apabila kuasa mereka tidak tergugat. Kerana itulah, peri pentingnya kuasa bagi mereka hingga mereka mengadakan suatu sekatan berupa kuota pemilihan agar kedudukan mereka sentiasa selesa. Idea ini juga akan menjadikan amalan ‘kronisme’ sesama mereka semakin kukuh.

Wujudnya ketamakan kuasa, hasad-dengki, rebut-merebut, jatuh-menjatuhkan dan fitnah memfitnah dalam dunia politik Machiavelli seperti ini adalah perkara biasa, kerana memang dasar politik Machiavelli itu sendiri. Apatah lagi bagi parti politik yang asasnya adalah sekular, yang memisahkan agama dari kehidupan. Asas yang tertulis dalam benak setiap ahlinya adalah ketuanan Melayu, yang merupakan perjuangan assobiyyah yang jelas diharamkan oleh syarak.

Namun, lama-kelamaan, dengan berlakunya evolusi politik, secara amnya, UMNO tidak lagi dilihat sebagai wadah yang memperjuangkan hak dan ketuanan Melayu, dan rakyat semakin sedar bahawa UMNO tidak lebih dari parti politik yang hanya tertumpu kepada manfaat kebendaan dan kuasa. UMNO masih bertahan kerana masih ada golongan yang gilakan kuasa dan tamakkan harta benda dunia masih berada di dalamnya. Mereka tidak sedar bahawa perbuatan mereka ini semakin merosakkan parti dan bangsa mereka sendiri, malah ia turut merosakkan diri mereka sendiri dan menjerumuskan mereka ke neraka.

Dalam pertelagahan yang berlaku sekarang, masalah utama di sini bukanlah masalah kuota pemilihan, tetapi masalah aqidah atau dasar parti sekular itu sendiri yang perlu dirombak dan ditukar kepada aqidah Islam. Selama mana pemikiran ‘kuasa’ dan ‘manfaat’ masih membelenggu pemimpin-pemimpinnya, selama itulah UMNO sekarang di dalam proses menggali kuburnya sendiri.

Tugas parti politik dalam Islam adalah untuk menyeru kepada Islam dan melakukan amar makruf nahi mungkar, sebagaimana dijelaskan oleh Allah di dalam surah Ali Imran ayat 104. Manakala tugas pemerintah adalah untuk mendukung syariah dalam ertikata menerapkan hukum Allah dan memperjuangkan Islam semata-mata. Hukum syarak merupakan objektif yang perlu diterapkan ke atas masyarakat (melalui kuasa negara). Kuasa dalam parti politik pula tidak akan melangkaui sempadannya dalam skop parti politik sahaja kerana Islam membezakannya dari kuasa negara. Parti politik merupakan kiyan fikriy (badan pemikir) yang sentiasa mencari jalan dan berusaha agar syariah sentiasa dilaksanakan sepenuhnya oleh kiyan tanfizi (badan pertadbir yakni negara).

Pengamalan campur tangan kuasa parti politik dalam kuasa negara pasti melahirkan kepincangan dalam sistem kenegaraan itu sendiri seperti yang ada sekarang. Kezaliman dan kekusutan sebegini tidak pernah dan tidak akan berlaku sama sekali dalam dunia politik Islam yang mengambil akidah Islam sebagai asas perjuangan. Pemerintah yang mengamalkan politik Islam akan memimpin umat manusia menuju jalan taqwa bukan sebagaimana pemerintah yang mengamalkan sekular hari ini yang memimpin manusia menuju tiga ‘ta’ (harta, takhta dan wanita)..

- Hizbut Tahrir Malaysia

0 comments:

Post a Comment

Blog Stats