Sumbangan ~ Tolong Klik.... Thanks.

Friday, November 21, 2008

Dr Asri: Saya tidak dibayar gaji untuk jadi pengampu!


DR. MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN

mStar : MENITI hari-hari terakhirnya sebagai Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin bercakap tentang jawatan yang akan dilepaskannya beberapa hari lagi, cadangan beliau tentang mesyuarat Majlis Fatwa Kebangsaan yang beliau anggap wajar disiarkan pada orang ramai, keberkesanan peranan JAKIM dan Mufti-mufti dari negeri lain dan membetulkan pendapat songsang yang mengaitkan beliau sebagai penyokong Umno dan penentang pembangkang.

"Saya bukan pengampu dan saya tidak dibayar gaji untuk mengampu dan ini tidak seharusnya terjadi," komen Dr Asri bila ditanya kenapa beliau lantang mengkritik pihak pemerintah mahupun pembangkang.

Kesemua pandangan beliau, bersifat neutral dan tidak memihak pada mana-mana parti politik walaupun ramai yang tersalah anggap.

Setiapkali beliau berhujah dan melontarkan pandangan, banyak maksud yang tersirat didalam bahasanya yang sarat dengan seribu makna dan sindiran. Mungkin juga ditujukan kepada mereka-mereka yang tidak senang dengan kehadirannya sebagai mufti paling muda di Malaysia.

Selama dua tahun memegang jawatan mufti, secara tidak sedar, Dr Asri mempunyai pengaruh yang kuat dalam mencorak pemikiran masyarakat Melayu dan pengamatan beliau tentang senario politik semasa.

Bertepatan dengan tajuk buku beliau yang baru sahaja diterbitkan bertajuk, "Mengemudi bahtera perubahan minda" (hasil himpunan koleksi artikel yang tersiar dalam kolum Pena Mufti) oleh Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd, Dr Asri tidak pernah jemu menegur dan mengajar umat Islam termasuk ahli-ahli politik agar mengatasi kelemahan cara fikir, meninggalkan kejumudan, keterbabasan sikap dan mentaliti serta penyelewengan dalam pelbagai aspek kehidupan.

Kelangsungan dan kelantangan beliau melontarkan idea dan pandangan bernas serta buah fikirannya yang tajam dan kritikal berdasarkan fakta dan ilmiah menjadikan pandangan Dr Asri tidak begitu disenangi oleh kebanyakkan tokoh agama dan Mufti-mufti dari negeri lain.

Sehinggakan ketidaksenangan ini mengundang satu sekatan ke peringkat tidak membenarkan Dr Asri memberi ceramah di beberapa negeri.

Tapi Dr Asri tidak mudah goyah dengan sikap dan persepsi kelompok sebegini, meskipun tokoh agama yang lebih berusia darinya.

Beliau juga tidak kisah digelar 'Mufti kontroversi' kerana di situlah kehebatan dan keistimewaannya yang sering dianggap sebagai 'pakar rujuk' oleh pengamal media, setiapkali ada isu-isu yang berkaitan agama dan hukum hakam.

Selama hampir satu jam temubual mStar Online di Taman Sri Ukay baru-baru ini, tokoh agama ini melontarkan pandangannya yang berani tanpa sempadan untuk kesekian kalinya.

Dalam lenggok bahasa yang sinis dan tegas disulam dengan jenaka yang pedas, Dr Asri masih tidak hilang bisanya meskipun tidak akan bergelar Mufti lagi.

Selami pemikiran tokoh agama, pensyarah, pemikir, penulis, kolumnis, penyair dan juga strategis ini dalam satu temubual ekslusif:

BOLEH KOMEN TENTANG KONTRAK MUFTI PERLIS YANG TERNYATA TIDAK MEMUASKAN HATI DR? DR TETAP DENGAN PENDIRIAN UNTUK BERHENTI MESKIPUN DIPUJUK. ADAKAH KERANA DR MERAJUK, BOSAN ATAU KERANA PRINSIP

Kontrak saya sepatutnya habis June 2009. Perancangan ke UK memang ada sejak awal, dua tahun lepas suda ada perancangan tapi dilewatkan berdasarkan kontrak.

Saya melihat keperluan untuk memegang jawatan itu dalam keadaan yang bermaruah. Saya tidak meminta sedekah untuk jawatan itu atau merayu untuk jawatan itu. Saya dahulunya dijemput untuk jawatan itu. Saya tidak mahu untuk kedua kalinya saya terpaksa mempertahankan jawatan saya. Saya rasa tidak perlu. Kalau itu berlaku, maka akan hilang kebebasan bersuara, sikap yang tidak berpihak dan itu tidak bermakna lagi saya memegang jawatan mufti.

ADAKAH DR PUAS HATI DENGAN TEMPOH DUA TAHUN SEBAGAI MUFTI PERLIS

Dari segi gerak kerja yang saya buat, saya boleh bersyukur. Dan memang kita patut bersyukur senantiasa. Sekurang-kurangnya tempoh itu berjaya. Berjaya buka minda banyak pihak. Kerja itu akan diteruskan tidak semestinya atas dasar platform Mufti Perlis.

ADAKAH AGENDA PERUBAHAN MINDA ITU MENCAPAI MATLAMAT? ATAU BELUM SELESAI

Perubahan minda itu telah berlaku. Alhamdulillah, pada peringkat awalnya, pada mulanya orang menjangka ianya satu kemustahilan. Dalam masa dua tahun, ianya berlaku dan diperkatakan di mana-mana. Ramai yang melihat agama dalam dimensi yang lebih luas.

Pihak konservatif terpaksa menyesuaikan diri pada arus persoalan. Saya pergi ke mana-manapun, saya berjumpa orang di kampung-kampung, di mana-mana negeri yang takada kaitan pun, berjumpa, salam dan menyatakan sokongan. Mereka rasa sangat gembira.

Dari sudut itu saya berjaya mencapai matlamatnya. Tapi untuk memastikan kelangsungan yang menyeluruh dan bukan sebagai slogan. Itu semua perlukan kerja yang lebih daripada seorang Mufti.

MAKSUD DR?

Maksudnya, saya mesti berfikir perancangan yang lain yang lebih besar daripada jawatan Mufti atau saya perlu pastikan banyak lagi Mufti yang begitu, agar perubahan boleh berlaku.

ADA YANG MENGANGGAP PEMERGIAN DR KE UK INI SEBAGAI SATU STRATEGI? DAN ADA YANG KATA DR MENDAPAT TAWARAN LUMAYAN SEKEMBALINYA DARI UK

Tawaran lumayan itu saya ingat, kita tutup dulu cerita itu....

TAPI DR TIDAK NAFIKAN?

Samada lumayan atau tidak, saya tidak melihat lumayan itu sebagai satu istilah dari segi gaji. Saya melihatnya dari segi tanggungjawab dan fungsi.

BAGAIMANA TAWARAN JAWATAN MENTERI?

Itu saya tidak boleh komen kerana perkara itu belum berada ada di depan mata.

ADAKAH TAWARAN KE ARAH ITU?

Tidak boleh dipastikan secara putus. Yang pentingnya ialah untuk seorang menjadi Menteri, dia kena melibatkan diri dengan politik. Dan saya di hari ini bukan ahli politik....

MUNGKINKAH SELEPAS 1 TAHUN KEMBALI?

Itu perkara di hadapan sukar untuk disebut tetapi seseorang membuat perancangan apa yang dirasakan mampu untuk menggerakkan perubahan minda rakyat dan ke arah kefahaman Islam yang lebih tepat dan lebih menyeluruh.

ADAKAH DR TERTARIK KE ARAH POLITIK?

Saya tidak boleh kata samada saya tertarik kepada politik ataupun tidak tetapi saya akan melihat apabila tiba masanya. Adakah penyertaan ke dalam politik ataupun tidak ke dalam politik itu boleh memberikan impak yang memadai ataupun nanti hanya akan mengorbankan segala pemikiran-pemikiran yang telah saya sebut dan cuba saya perjuangkangkan sebelum ini.

Itu satu perkara yang mesti untuk diimbangi senantiasa kerana politik ini...Pertama bila masuk politik orang akan melihat lihat sikap berpihak. Akan menyebabkan kita memihak sebahagian umat dan meninggalkan sebahagian umat yang lain. Itu harganya sangat besar dan kesannya sangat buruk jika sekirannya tidak di kawal. Di pihak yang lain, kalau sekiranya ada ruang itu, kita hendak kena ukur. Adakah sekadar memperolehi jawatan ataupun memang dapat meneruskan pandangan-pandangan agenda ataupun tidak?

Jika benar kita rasakan sesuai, kita kena fikir sejauh mana kita boleh bawa. Saya tak nak sekadar memenuhi kantung, tidak memberi apa-apa makna.

Kalau nak, ia mesti berjaya melaksanakan agenda.

TAPI DR PERNAH TERFIKIR KE ARAH ITU?

Saya berfikir banyak perkara termasuklah perkara itu.

0 comments:

Post a Comment

Blog Stats